Hati ini sering bertanya, mengapakah Nabi Besar Muhammad s.a.w perlu "berkhalwat" di Gua Hira untuk menerima wahyu di puncak Jabal Nur?
Apakah keistimewaan Gua Hira dan Jabal Nur tempat turunnya wahyu pertama 1,396 tahun yang lalu – IQRA’ - yang dibawa oleh Malaikat Jibril pada malam ke-17 Ramadan tahun 610 Masihi?
Terdorong untuk mencari jawapan kepada soalan-soalan ini, timbul keinginan untuk melihat sendiri Gua Hira dan Jabal Nur. Alhamdulillah, hasrat ini termakbul apabila kami sekeluarga ke Tanah Suci.
Jabal Nur terletak dua farsakh atau kira-kira 10 kilometer ke utara Kota Makkah. Perjalanan dengan kenderaan hanya memakan masa 15 minit. Perjalanan bermula pada pukul 3.00 pagi dari Kota Mekah ke kaki Jabal Nur. Pendakian dilakukan pada waktu dini hari kerana cuacanya sejuk berbanding pada waktu siang yang suhunya mencapai 40 darjah.
Dalam perjalanan, kami sudah tidak sabar untuk mendaki dan melihat sendiri gua bersejarah di puncaknya. Masa yang ditunggu tiba. Keazaman makin menebal. Bermulalah pendakian yang tidak diduga besar juga cabarannya. Jabal Nur yang curam dan kerikil-kerikil batu yang tajam benar-benar menguji ketabahan hati kami. Belum pun sempat sampai ke puncak, nafas bagai terputus-putus.. Kawasan di pertengahan gunung agak curam. Langkah yang diatur begitu pantas pada awal pendakian, kini beransur lemah. Tercungap-cungap !
Permukaan gunung itu berbatu kerikil dan tajam. Di sesetengah bahagian agak merbahaya. Para jemaah terpaksa mendaki dengan hati-hati mengikut lereng-lereng gunung. Tidak ada pagar atau tumbuhan untuk berpaut. Namun kami tabahkan hati.
Alhamdullilah, berkat kesungguhan hati dan lindungan Allah, sampailah kami di puncak Jabal Nur setelah hampir sejam mendaki di celah-celah bongkah batu kerikil yang tajam.
Sayu rasanya hati. Pemandangannya dari atas sungguh mengasyikkan dengan taburan tempat kediaman di celah-celah banjaran gunung. Dari puncak Jabal Nur nun jauh di sana, kelihatan Kota Makkah yang bermandikan cahaya Lampu.
Untuk sampai ke Gua Hira, para pendaki terpaksa menuruni 20 meter dari puncak Jabal Nur ke arah Kota Makkah. Sebelum sampai ke muka Gua Hira, kami perlu melalui satu lorong yang sempit yang hanya muat seorang saja.
Dengan izin Allah, akhirnya kami pun sampailah di muka pintu Gua Hira.
Ia terbentuk daripada runtuhan batu-batu besar yang saling bertimpa-timpa hingga menjadi satu lubang besar kira-kira semeter dan tinggi kira-kira dua meter. Besar Gua Hira itu cukup untuk seorang mendirikan solat, di mana kedudukan gua itu betul-betul menghadap kiblat - Masjidil Haram
Di sinilah rupa-rupanya Nabi Muhammad s.a.w menyendiri setiap bulan Ramadan selama lima tahun menjelang kenabiannya.
Hati berasa puas. Terjawab sudah pertanyaan yang selama ini bermain di fikiran. Sesungguhnya keadaan Gua Hira yang amat sunyi itu membolehkan Nabi Muhammad s.a.w menumpukan konsentrasi fikirannya jauh dari hiruk-pikuk masyarakat jahiliah sambil menyediakan dirinya untuk tugas yang besar.
Jabal Nur penting untuk diziarahi untuk menambah pengetahuan mengenai sejarah Islam serta keinsafan dan ketaqwaan.
Tetapi, bagi mereka yang kurang biasa mendaki gunung atau kurang baik kesihatannya, sebaiknya jangan memaksa diri. Kenderaan yang kami naiki dari Kota Makkah ke Jabal Nur berhawa dingin. Sepanjang pendakian, terdapat pondok-pondok untuk melepaskan lelah dan gerai minuman untuk menghilangkan haus. Dalam perjalanan itu, saya terbayangkan Nabi berjalan kaki tanpa teman, tanpa unta, tanpa kenderaan, tanpa bekalan air dan makanan yang mencukupi.
Jabal Nur dan Gua Hira tidak banyak bezanya dengan gunung-gunung dan gua yang terdapat di sekitar Kota Makkah. Keistimewaannya adalah penyaksiannya yang pertama akan kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad pada malam Nuzul Quran.
Selepas bersolat subuh berjemaah kami menuruni Jabal Nur dan kembali ke Kota Mekah. Apabila melihat gambar dan video Gua Hira – Ia mengamit perasaan RINDU kami padanya!
Wallah-walam-bisawab