KEJADIAN tsunami dahsyat di Jepun telah membuat manusia beranggapan apakah peristiwa sebegini membawa petanda dunia kini semakin sampai ke penghujungnya.
TSUNAMI yang berasal dari perkataan Jepun bermaksud "ombak gergasi" sudah cukup untuk menggerunkan sesiapa sahaja yang mendengarnya. Tiada sesiapa yang boleh mempertikaikan kemampuannya untuk memusnahkan apa saja yang berada di hadapannya.
Melihat kepada telahan umum ramai yang beranggapan tahun 2012 adalah tahun di mana satu bencana besar akan berlaku malah ada yang begitu yakin kiamat akan melanda manusia pada tahun tersebut.
Kiamat 2012
Filem Kiamat 2012 berkenaan kalendar kaum Maya yang berusia 5,125 akan tamat pada 21 Disember 2012. Kalendar Maya kuno dikatakan amat tepat terutama membabitkan perubahan pada planet.
Tamadun ini yang pernah wujud kira-kira 200 tahun sebelum masihi memiliki ilmu astronomi yang maju dan mereka berjaya mengesan pergerakan matahari dan planet sejak beberapa ribu tahun lalu. Tamadun ini mempunyai 22 kalendar yang merangkumi kitaran masa cakerawala dan sistem solar.
Pada tarikh 21 Disember 2012 Bumi dikatakan akan berada sebaris dengan pusat Galaksi Bima Sakti buat kali pertama sejak 25,800 tahun menyebabkan polar magnet Bumi berganjak sekali gus mencetuskan gempa bumi, banjir dan letupan gunung berapi.
Planet Nibiru
Adalah dijangkakan pada 23 Disember 2012 planet ini akan memberi kesan paling dahsyat kepada Bumi apabila ia menceroboh sistem solar Bumi.
Apabila ini berlaku kesan paling buruk adalah ia akan memutarkan kedudukan kutub-kutub sekarang kepada terbalik (polar shifting). Bagi mereka yang percaya ia dikaitkan dengan peristiwa banjir besar zaman Nabi Nuh alaihissalam dahulu.
Bagaimanapun planet ini dikatakan tidak akan menghentam bumi tapi tarikan gravitinya yang sangat kuat mampu memudaratkan hidupan-hidupan yang menghampirinya. Selain itu Planet Nibiru dipercayai berkuasa magnetik dan boleh menganggu kestabilan geografi bumi.
Kod Rahsia
Selain itu teori akan berlaku kiamat pada 2012 diperkuatkan lagi dengan penemuan kod rahsia dalam Kitab Injil Perjanjian Lama pada tahun 1994 oleh sekumpulan penyelidik. Menurut mereka, bumi akan dihentam asteroid sehingga menyebabkan kemusnahan besar-besaran.
Di Asia, hal yang sama telah ditunjukkan oleh berbagai buku yang ditulis oleh para astrologi China dari Dinasti Chang sejak tahun 1766, akan berlaku bencana besar pada 3778 M (yang bertepatan dengan tahun 2012).
Seorang ahli astronomi Jepun, Haido Itakawa pula berkata pada tahun 1980 bahwa planet-planet matahari akan tersusun di dalam satu garis di belakang matahari, dan ini kemudiannya akan mengakibatkan kejadian kemusnahan di angkasa raya sekaligus menghentikan kehidupan di atas muka bumi juga pada tahun 2012.
Islam
Namun begitu soal kiamat merupakan hal ghaib yang harus dipercayai oleh setiap Muslim namun tarikh sebenar hanya diketahui oleh Allah SWT seperti firmannya dalam surah al A'raf: 187, maksudnya :
"Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: "Bilakah terjadinya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba".
Petikan artikel 'Dunia Penghujung Zaman?' Oleh Hfizahril Hamid di M2, Mingguan Malaysia 20.03.2011