Friday, February 06, 2009

PenGlipur Lara 5



Kisah Batu Belah Batu Bertangkup - Gosip Lama

Pekan dan Melor mengejar ibunya dari belakang. Ibunya merajuk kerana tidak dapat merasai telor ikan tembakul yang dihabiskan oleh Si Pekan. Sedangkan Melor sudah dipesan agar menyimpanya sedikit untuknya.

Si ibu menyerahkan dirinya agar ditelan Batu Belah Batu Bertangkup dan meninggalkan kedua anaknya yatim piatu.

Akhir Cerita : Emosi Membakar Diri !

Kisah Batu Belah Batu Bertangkup - Gosip Terkini

Pekan dan Melor mengejar ibunya dari belakang. Ibunya merajuk kerana tidak dapat merasai telor ikan tembakul yang dihabiskan oleh Si Pekan. Sedangkan Melor sudah dipesan agar menyimpanya sedikit untuknya.

Si ibu TIDAK menyerahkan dirinya agar ditelan Batu Belah Batu Bertangkup dan meninggalkan kedua anaknya yatim piatu malahan mengikuti lawatan ke BATAM untuk menjamu selera seafood - ikan bakar, udang galah dan ketam termasuk telor ikan tembakul!

Akhir Cerita : Emosi Membakar Selera !

Thursday, February 05, 2009

PenGlipur Lara 4



Kisah Si Tanggang – Gosip Terkini

Si Tanggang :

Siapa kau, haa! Perempuan tua kutuk. Kau bukan emak aku. Aku tidak kenal kau! Nyah kau dari sini! Pergi !!

Mak Tanggang :

Tu! Mak sudah agak kau mesti cakap macam itu Tanggang !!! Jadi mak ada bawa sekali Pegawai dari “Tribunal Timbang Tara Ibubapa Tuntut Sara Hidup”. Siap dengan rakaman video sekali. Boleh mak upload di YouTube nanti! Padan muka kau !!!

Akhir Cerita : Ikut peredaran semasa !

Wednesday, February 04, 2009

PenGlipur LaRa 3



Kisah Lebai Malang - Gosip Lama

Selesai sembahyang subuh Pak Lebai menerima bukan satu tetapi tiga majlis undangan untuk beliau hadiri.

Undangan pertama untuk menghadiri khenduri 7 hari. Undangan kedua untuk majlis khatam al-quran. Dan undangan ketiga khenduri maulid. Semuanya selepas zohor.

Ketika mudik ke hulu, air mula surut. Ketika mudik ke hilir pula air mula pasang. Pak Lebai terpaksa melawan arus untuk ke majlis undangan.

Akhirnya beliau terlewat tiba kesemua majlis undangan dan tidak dapat merasai hidangan dan pulang dengan perut kosong!

Akhir Cerita : ke'malang'an mengundang kesulitan!

Kisah Lebai Canggih - Gosip TerKini

Selesai sembahyang subuh Pak Lebai menerima bukan satu tetapi tiga majlis undangan untuk beliau hadiri.

Undangan pertama untuk menghadiri khenduri 7 hari. Undangan kedua untuk majlis khatam al-quran. Dan undangan ketiga khenduri maulid. Semuanya selepas zohor.

Pak lebai tidak mahu pisang berbuah dua kali. Tiba lewat dan pulang dengan perut kosong!

Pak lebai menyuruh mereka yang mengundangnya memesan canadian piza dan mac donald untuk dihantar ke rumahnya. Kemudian membuka talian internet selepas zohor untuk majlis baca doa 3 dalam 1 melalui skype!

Akhir Cerita : Kecanggihan mengundang keselesaan!

Tuesday, February 03, 2009

PenGlipur LaRa 2



Kisah Arnab Dengan Kura-Kura - Gosip Lama

Untuk menyelesaikan pertelagahan antara arnab dan kura-kura akhirnya mereka bersetuju untuk bertanding dalam satu pertandingan.

Pada hari pertandingan arnab dan kura-kura bersedia di garis permulaan dan disaksikan semua haiwan yang terdiri daripada para penyokong masing-masing.

Perlumbaan bermula. Kepantasan arnab berlari tidak dapat dikejar oleh kura-kura yang tertinggal jauh di belakang.

Arnab mengambil kesempatan untuk berehat di bawah sebatang pokok dan akhirnya tertidur!

Kura-kura terus mengatur langkah demi langkah.

Tiba-tiba arnab terjaga dari tidurnya tetapi mendapati bahawa kura-kura telah pun melepasi garis penamat!

Akhir Cerita : Kekuatan fizikal tunduk kepada kelemahan diri!

Kisah Arnab Dengan Kura-Kura - Gosip TerKini

Arnab masih tidak puas hati dengan kemenangan kura-kura.

Untuk memuaskan hati arnab akhirnya kura-kura bersetuju untuk bertanding dalam satu lagi perlumbaan dengan syarat laluan larian ditentukan olehnya.

Pada hari pertandingan arnab dan kura-kura bersedia di garis permulaan dan disaksikan semua haiwan yang terdiri daripada para penyokong masing-masing.

Perlumbaan bermula. Kepantasan arnab berlari tidak dapat dikejar oleh kura-kura yang tertinggal jauh di belakang.

Kali ini arnab tidak akan berhenti untuk berehat atau tidur. Keyakinannya tinggi. Kali ini ia pasti menang. Ya! Pasti menang!

Tiba-tiba langkah lariannya terhenti. Di hadapanya ada sebatang sungai!

Kura-kura terus mengatur langkah demi langkah kemudian berenang melintasi sungai dan tiba di garis penamat untuk memenangi perlumbaan kali kedua!

Akhir Cerita : Kekuatan fizikal tunduk kepada kekuatan akal!

Monday, February 02, 2009

PenGlipur LaRa 1



Kisah Pemotong Kayu - Gosip Lama

Seorang pemotong kayu duduk menangis mengenangkan nasibnya bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga.

Tiba-tiba muncul satu lembaga di depannya bertanya kenapa beliau menangis. Beliau menceritakan kapaknya tercampak ke dalam sungai.

Lembaga itu lalu terjun ke dalam sungai dan kemudian muncul dengan sebilah kapak di tangan. "Kapak emas ini bukan milik hamba. Kapak hamba kapak besi".

Lembaga itu lalu terjun ke dalam sungai dan kemudian muncul dengan sebilah kapak di tangan. "Kapak perak ini bukan milik hamba. Kapak hamba kapak besi".

Lembaga itu lalu terjun ke dalam sungai dan kemudian muncul dengan sebilah kapak di tangan. "Kapak besi ini milik hamba. Terima kasih."

"Oleh kerana kamu seorang yang jujur, hamba hadiahkan KETIGA-TIGA kapak ini untuk tuan hamba".

Akhir cerita : Pemotong kayu hidup senang-lenang kerana kejujurannya!

Kisah Pemotong Kayu - Gosip TerKini

Seorang pemotong kayu duduk menangis mengenangkan nasibnya bagaikan pungguk rindukan bulan.

Tiba-tiba muncul satu lembaga di depannya bertanya kenapa beliau menangis. Beliau menceritakan isterinya tercampak ke dalam sungai.

Lembaga itu lalu terjun ke dalam sungai dan kemudian muncul dengan seroang wanita. "Ya! wanita ini isteri saya".

"Kamu tidak jujur. Angelina Jolie ini bukan isteri kamu. Betul bukan?"

"Betul! Jika saya jujur Kamu akan terjun ke dalam sungai dan muncul dengan Aishwarya Rai".

Lembaga itu kebingungan!

"Dan jika saya jujur kamu akan terjun ke dalam sungai dan muncul dengan isteri saya".

Lembaga itu kebingungan!

"Oleh kerana saya seorang yang jujur kamu akan menghadiahkan KETIGA-TIGA wanita itu kepada saya. Mana saya mampu memberi nafkah zahir dan batin! Jika mereka bercakaran hidup saya tidak bahagia!

Akhir Cerita : Pemotong kayu hidup bersama isteri barunya kerana memanupulasi kejujuran!

Sunday, February 01, 2009

PenGlipur LaRa


TamanBahasa menghidangkan 5 kisah penglipur lara malar segar bermula esok.

01 Kisah Pemotong Kayu Dengan Angelina Jolie
02 Kisah Arnab Dengan Kura-Kura
03 Kisah Lebai Malang Dengan Skype
04 Kisah Si Tanggang Artis SMS
05 Kisah Batu Belah Batu Bertangkup Dengan ElderShield