Tuesday, February 03, 2009

PenGlipur LaRa 2



Kisah Arnab Dengan Kura-Kura - Gosip Lama

Untuk menyelesaikan pertelagahan antara arnab dan kura-kura akhirnya mereka bersetuju untuk bertanding dalam satu pertandingan.

Pada hari pertandingan arnab dan kura-kura bersedia di garis permulaan dan disaksikan semua haiwan yang terdiri daripada para penyokong masing-masing.

Perlumbaan bermula. Kepantasan arnab berlari tidak dapat dikejar oleh kura-kura yang tertinggal jauh di belakang.

Arnab mengambil kesempatan untuk berehat di bawah sebatang pokok dan akhirnya tertidur!

Kura-kura terus mengatur langkah demi langkah.

Tiba-tiba arnab terjaga dari tidurnya tetapi mendapati bahawa kura-kura telah pun melepasi garis penamat!

Akhir Cerita : Kekuatan fizikal tunduk kepada kelemahan diri!

Kisah Arnab Dengan Kura-Kura - Gosip TerKini

Arnab masih tidak puas hati dengan kemenangan kura-kura.

Untuk memuaskan hati arnab akhirnya kura-kura bersetuju untuk bertanding dalam satu lagi perlumbaan dengan syarat laluan larian ditentukan olehnya.

Pada hari pertandingan arnab dan kura-kura bersedia di garis permulaan dan disaksikan semua haiwan yang terdiri daripada para penyokong masing-masing.

Perlumbaan bermula. Kepantasan arnab berlari tidak dapat dikejar oleh kura-kura yang tertinggal jauh di belakang.

Kali ini arnab tidak akan berhenti untuk berehat atau tidur. Keyakinannya tinggi. Kali ini ia pasti menang. Ya! Pasti menang!

Tiba-tiba langkah lariannya terhenti. Di hadapanya ada sebatang sungai!

Kura-kura terus mengatur langkah demi langkah kemudian berenang melintasi sungai dan tiba di garis penamat untuk memenangi perlumbaan kali kedua!

Akhir Cerita : Kekuatan fizikal tunduk kepada kekuatan akal!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home