Wednesday, August 30, 2006

PaKej AsAs


Baru-baru ini diumumkan bahawa para jemaah haji dari Singapura bersetuju untuk melakukan ibadat haji pakej Asas dan bukan pakej VIP. Sama ada pakej asas atau VIP, ia tidak penting, yang penting ialah segala rukun haji dapat dijalankan dengan sempurna semoga beroleh Haji Yang Mabrur.

Sejauh ini para jemaah telah mengikuti kursus haji seawal tahun bagi persediaan dari segi ibadat yang akan dijalankan ketika menunaikan fardu haji yang kelima itu. Namun begitu pengumuman oleh pihak Amtas mengenai pakej Asas perlu diberikan sedikit perhatian oleh para jemaah. Bermakna tempat kediaman para jemaah berada sejauh antara 3 hingga 4 kilometer dari tempat melontar jamrah. Bagi sebahagian jemaah Indonesia berjalan kaki adalah biasa bagi mereka kerana tempat tinggal mereka di Mekah dan Madinah sejauh 3 hingga 4 kilometer.

Sebelum itu kedudukan tempat tinggal jemaah Singapura di Mina dalam jarak 200 meter. Walaupun dekat namun para jemaah terpaksa menghabiskan masa lebih kurang dua jam untuk kegiatan melontar jamrah dengan berjalan kaki pergi dan balik dalam keadaan orang ramai yang berasak-asak itu. Cuba bayangkan jarak sejauh 3 hingga 4 kilometer itu, berjalan kaki ke tempat melontar. Masya Allah! Kerana kebanyakan para jemaah terdiri daripada kalangan yang berumur empat puluhan ke atas dan kaum wanita!

Sekitar sejuta orang berhimpun di Mina dan dianggarkan memerlukan 25,000 bas untuk mengangkut para jemaah. Sudah pasti kesesakannya seperti bas itu tidak bergerak walaupun seinci. Walaupun kita cuba mengelakkan melontar jamrah pada waktu-waktu yang tidak sesak, bilangan 10,000 bas yang bergerak bagai kura-kura itu memerlukan beberapa jam untuk tiba. Jika tiba pun sudah pasti tidak akan sampai di muka pintu jamrah, kemungkinan satu kilometer atau dua kilometer para jemaah perlu turun dari bas dan berjalan kaki untuk tiba ke jamrah. Di sinilah ketahanan fizikal dan mental para jemaah diuji. Keadaan jalan yang berbukit, sesak, berliku, sempit dan panas dalam jarak 200 meter pun pasti meragut tangkai-tangkai hati untuk meneruskan langkah apalagi dalam jarak 2 atau 3 kilometer.

Untuk itu diharapkan para jemaah kini sudah bersedia melakukan latihan jasmani dari sekarang agar kesihatan para jemaah tetap terpelihara dan dapat melakukan segala ibadat dengan sempurna. Jika dalam jarak 3 kilometer bermakna para jemaah terpaksa berjalan sejauh 6 kilometer untuk pergi dan balik atau jika mengikut pusingan stadium bermakna 15 pusingan.

Kawasan Bedok Reservior Park adalah sesuai untuk latihan fizikal berjalan kaki kerana satu pusingan sejauh 4.3 kilometer dan boleh dilakukan secara berkumpulan pada waktu malam kerana terdapat lampu di sepanjang laluan selepas sembahyang isyak dari pukul 9 malam hingga 12 tengah malam atau dari pukul 2 pagi hingga 5 pagi. Untuk latihan sebelum puasa adakan 2 kali seminggu untuk satu pusingan sahaja dan selepas puasa 2 pusingan secara intensif setiap latihan. Sebaiknya pihak penganjur menyediakan jurulatih senaman untuk memanaskan badan dan penerangan tentang teknik-teknik berjalan yang betul. Jika sudah bersedia lakukan latihan pada waktu pagi dan petang di bawah pancaran cahaya matahari.

TamanBahasa berharap dengan latihan yang teratur insya Allah para jemaah akan berasa yakin berjalan kaki untuk melontar jamrah bila tiba masanya bukan hanya berkirim salam agar orang lain melakukan untuknya. Di samping latihan untuk persediaan bertawaf dan bersai dapat dilakukan sendiri oleh jemaah dengan lebih yakin dan lancar. Insya Allah.

Namun begitu marilah kita sama-sama berdoa agar para jemaah yang menunaikan fardu haji tahun ini dalam keadaan yang sihat dan selamat serta pulang mendapat Haji Yang Mabrur.

# Disiarkan di BERITA HARIAN - 2 SEPT 2006 SabTu

0 Comments:

Post a Comment

<< Home