Saturday, January 26, 2008

21 Jan & 26 Jan



Dua JamBanGan

Sejak dari benih disemai ia bercambah menjadi jambangan menghiasi sebuah taman. Sisirami dengan baja kasih dan sayang. Keharumannya menarik perhatian sang kumbang.

Puluhan tahun jambangan itu dijaga rapi. Melindunginya daripada hujan dan ribut yang mengganas. Membunuh parasait yang akan merosakkan pertumbuhan dan kesegarannya. Mengawasinya daripada gejala-gejala keburukan dan kehinaan.

Syukur alhamdullilah dua jambangan bunga menjadi kebanggaan pemiliknya. Masa berlalu begitu cepat. Daun-daun yang gugur diganti dengan pucuk-pucuk hijau yang segar. Putik-putik bunga mula berkembang mewarnai keindahan alam.

Kedua jambangan itu didedahkan dengan pelbagai sinaran suria yang berbeza di pelbagai tempat. Mempunyai daya saing untuk menghadapi pelbagai cabaran iklim dunia. Hasilnya - insya-Allah jambangan itu memberi manfaat kepada keharmonian alam.

Pagi ini pemiliknya bangun melihat jambangan di tamannya. Dia tidak bermimpi. Dia sedar bahawa dua jambangan itu tiada lagi menghiasi tamannya. Dia tersenyum lebar kerana hatinya berasa puas. Menunaikan amanah yang dipikulnya.

Dua jambangan itu telah berpindah milik. Dia telah dengan rela hati dan dengan doa restu menyerahkannya kepada pemiliknya yang baru. Dua jambangan yang kini menghiasi taman-taman pemilik barunya.

Setiap malam pemilik jambangan akan sentiasa mendoakan kesejahteran kedua jambangannya agar sentiasa berkembang mekar dan bercambah di taman barunya menghiasi keindahan alam ciptaan Allah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home