Sunday, October 31, 2010

Rumah Baru 3


Semalam kami menerima tetamu ketiga, Khuzaimah (16 bulan) sekeluarga bersama atuk dan neneknya dari Blk 501 Woodlands.

Alhamdullilah rumah kediaman kami Blk 841 Woodlands #05-313 telah mula berfungsi seperti biasa. Oleh itu kami membuka pintu untuk sesiapa sahaja yang sudi berkunjung ke rumah kami.

Walaupun begitu, kunjungan hendaklah dilakukan pada hari-hari biasa disebabkan pada hujung minggu (Sabtu dan Minggu) kami bermalam di 32 Nusa Idaman, Johor. Hubungi kami di talian 6363 2041 untuk kepastian.

Anda tidak perlu risau untuk memenuhi undangan kami. Kami memahami kesulitan tetamu untuk berkunjung disebabkan kedudukan rumah kami di utara Singapura.

Untuk pengetahuan ahli keluarga HMS, majis minum teh yang kami rancangkan sebulan selepas berpindah tidak dapat kami adakan, untuk mengelakkan kegiatan timbal balas.

Namun begitu insya-Allah majlis minum teh itu kami satukan dengan majlis menyarung cincin pada 25 Disember 2010.

Akhir sekali, Kami sekeluarga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali dan Hari Raya Aidil-Adha 2010 serta berbahagia di samping keluarga.

Saturday, October 30, 2010

Rumah Baru 2



> Bersambung

Friday, October 29, 2010

Rumah Baru 1

Salam Untuk Semua

Terima kasih kerana berkunjung ke lelaman kami. Siri TerBONGkar hanya bersiaran dari hari Isnin hingga ke hari khamis, empat hari seminggu.

Siapakah Aku yang pertama? Aku yang kedua? Aku yang ketiga? Secara kasar itulah konflik keluarga yang lumrah terjadi dalam masyarakat. Apa yang menariknya ia membabitkan mereka yang berprofil tinggi dalam masyarakat. Nantikan sambungannya pada minggu depan.

Rumah Baru 1

Alhamdullilah! Syukur kepada Allah s.w.t. Akhirnya kami selamat berpindah dari Tampines St 33 ke Woodlands St 82 pada hari Jumaat : 1 Oktober 2010.

Kami menjangkakan akan berpindah pada 1 Januari 2011. Tetapi tanpa dijangkakan proses itu dipercepatkan sehingga kami kelam-kabut dibuatnya. Menguruskan kerja renovasi dan perpindahan. Gara-gara agent rumah yang ingin cepat dapatkan komisennya!

Namun begitu ada hikmahnya yang tersembunyi. Proses itu berlaku sebelum peraturan HDB yang menghadkan hanya satu pemilikan hartanah pada 1 September 2010.

Jika proses itu berlaku selepas tarikh 1 September 2010, alamatlah ditelan mati emak, diluah mati bapak.

> Bersambung

Thursday, October 28, 2010

TerBONGkar 4



> Bersambung

Wednesday, October 27, 2010

TerBONGkar 3


Aku mencintai anakmu. Anakmu juga mencintai aku. Tanpa batas bangsa, bahasa dan agama. Cinta sejati seperti Romeo dan Juliet atau Laila Majnun. Cinta itukan anugerah tuhan.

Salahkah aku mencintai anakmu dan anakmu mencintaiku. Menjadi isteri yang sah pada anakmu. Yang bakal melahirkan zuriatmu. Mengapa aku dipandang hina. Mengapa kehadiranku dalam keluargamu bagaikan duri dalam daging!

Kau menuduhku menggunakan pelbagai tipu daya untuk memikat anakmu. Tergamak kau mengatakan aku menggunakan bomoh, dukun dan ilmu hitam untuk memiliki anakmu.

Sedangkan kau cakap tidak serupa bikin. Kata orang mengata dulang paku serpih, mengata orang kau yang lebih. Pada satu pagi aku temui sesuatu yang ganjil! Sesuatu yang ganjil bertaburan di depan rumahku!

Buang yang keruh, ambil yang jernih. Dua puluh tahun telah berlalu. Marilah kita hidup harmoni dalam masyarakat Singapura yang berbilang bangsa. Yang mengamalkan kebebasan kepercayaan beragama.

Janganlah kerana namaku Laura menjadi punca segala keretakan dan permusuhan yang tiada penghujung!

> Bersambung



Tuesday, October 26, 2010

TerBONGkar 2


Aku tidak perlu menangis meratapi jalan kehidupan yang kulalui. Persetan dengan mereka. Aku berhak menentukan hala tuju destinasi hidupku.

Kau telah membesarkanku. Menyekolahkanku. Mendidikku. Tidak perlu aku ucapkan terima kasih! Kerana itu tanggangjawabmu. Namun begitu aku ucapkan terima kasih.

Sedangkan pantai lagikan berubah, inikan pula hati manusia. Kau mengongkongku, selamaku berteduh di bumbung rumahmu. Hidupku tiada kebebasan. Bila aku mengecapi dan menikmati kebebasan, kau menuduh aku telah tersesat jalan. Jalan lain ke syurga!

Steven. Nama yang tercatat di kad pengenalanku. Mengapa mesti dipertikaikan! Obama atau Osama ataupun Mas Selamat! Apa ada pada nama? Ia hanya pengenalan diri.

Aku bukan berkelulusan menara gading. Namun bakatku dalam bidang seni menjadi sumber rezekiku. Menyara diriku dan isteriku yang kaulemparkan pelbagai tohmahan.

Memang aku merahsiakan keberadaanku daripada pengetahuanmu. Aku tidak mahu diganggu. Hentikan usahamu yang tidak jemu-jemu menjejakku. Jika kau inginkan kedamaian dalam hidup, aku juga mahukan kedamaian dalam hidupku.

Detik-detik masa bersamamu yang lalu telah menjadi lipatan sejarah. Tidak mungkin ia akan berulang kembali jika kau tidak mahu menerima realiti kehidupan yang kulalui!

> Bersambung


Monday, October 25, 2010

TerBONGkar 1


Air mata mengalir membasahi pipi dua dekad yang lalu. Kini tidak lagi mengalir. Kekeringan. Kemarau panjang. Pandanganku kabur. Bukan jerebu kebakaran hutan tetapi jerebu kehidupan!

Siapakah aku? Seorang pendidik bangsa. Bukan seorang yang kudidik, malahan ratusan atau ribuan insan yang kudidik ketika berkecimpung dalam dunia pendidikan selama lebih 40 tahun! Teman hidupku juga kalangan asatizah yang berkelayakan. Menunjukkan insan jalan siratul mustaqim > jalan ke syurga!

Aku dikurniakan tiga cahaya mata yang sujud kepadaMU tanpa disuruh, lima kali sehari. Walau sepenat mana pulang dari kerja atau ketika syaitan-syaitan bergayutan di kelopak mata pada waktu subuh, mereka tetap sujud dengan keikhlasan hati! Syukur alhamdullilah!

Panorama kehidupan familiku itu adalah 20 tahun yang lalu. Kini jerebu kehidupan melanda hidupku. Aku kehilangan. Bukan harta! Bukan jasad di badan! Bukan cinta sejati!

Kini aku mengerti apa itu senyum dalam tangisan! Adakah ini dugaan, ujian atau cabaran yang Kau galaskan ke pundakku? Maha suci Allah yang maha mengetahui. Aku insan kerdil menerimanya seikhlas mungkin.

> Bersambung