HeRo YCK
DUA RAKAN SELAMATKAN WARGA TUA DARI LEMAS
Oleh Nurraihan Abdul Hamid
MEREKA mendapat sijil kemahiran berenang sekitar tujuh tahun lalu iaitu ketika di darjah tiga dan kemahiran berenang tersebut nampaknya memberi manfaat kepada dua rakan karib itu apabila mereka berjaya menyelamatkan seorang warga tua daripada lemas di Sungai Singapura pada 28 Jun lalu.
Ketika kejadian berlaku, kedua-dua rakan sejak darjah satu itu sedang bersembang di sebuah kios minuman. Ketika sedang bersembang, Muhammad Syarifuddin Zainal (YCK 2006) dan Syahrul Ili Sani (YCK 2008), kedua-duanya 17 tahun, melihat seorang lelaki tua terjatuh ke dalam sungai dan terkapai-kapai di permukaan air.
Mereka lantas terjun ke dalam sungai itu bagi menyelamatkan lelaki berusia 66 tahun yang kudung kaki kanannya itu.
Keberanian dan bakti mereka terbukti tidak dipandang sepi. Semalam, mereka diberi sijil penghargaan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dalam satu majlis ringkas di ibu pejabat Divisyen Pertama pasukan itu di Queensway.
Menyingkap kejadian di bawah jejatas Esplanade sekitar 10 malam itu, Syarifuddin berkata dia dan Syahrul Ili sedang duduk bersembang di sebuah kios minuman kopi berdekatan apabila melihat warga tua itu terjatuh ke dalam sungai.
'Puas saya cari boya keselamatan di keliling tempat kejadian, namun tidak berhasil. Lantas, saya terjun untuk menyelamatkan apek itu,' jelas penuntut tahun pertama Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Bishan itu.
Syahrul Ili, yang terjun kemudiannya, berkata dia tidak terfikir langsung tentang keselamatan dirinya ketika cuba menyelamatkan warga tua itu.
'Saya cuma ingat hendak selamatkannya!' kata pelajar menengah lima Sekolah Menengah Yio Chu Kang itu.
Kedua-dua remaja itu kemudian dibantu dua pegawai SCDF yang turut terjun bagi menarik warga tua itu ke tebing sungai.
Mengenai sijil yang diterima, Syahrul Ili berkata: 'Ini adalah antara pencapaian yang amat membanggakan. Peluang menyelamatkan nyawa orang tidak datang selalu'.
Berita Harian : 10 Julai 2008
0 Comments:
Post a Comment
<< Home