Monday, August 10, 2009

Aku Ketahuan 5



Bila diperhatikan carta mereka yang terlibat dalam pengurusan masjid di Singapura dari CEOnya hingga ke ahli jawatankuasanya terdiri sama ada dari kaum Melayu atau India.

Kita dapati pihak partai pemerintah walaupun mempunyai ahli kadernya untuk meneruskan perjuangan parti masih tetap berusaha untuk mendapatkan bakat-bakat luar bagi melangsungkan penakatannya untuk terus bersaing.

Langkah proaktif ini membolehkan partai tersebut diwakili oleh mereka yang terdiri daripada pelbagai bangsa, warna kulit, agama dan kepakaran. Oleh kerana itu visi dan misi partai tersebut mendapat kepercayaan para pengundi setiap pilihan raya.

Mengapa tidak kita mengambil langkah proaktif yang sama mencari bakat-bakat luar untuk terlibat sama memakmurkan dan memperkasakan masjid agar lebih berdaya saing.

Memang kita tidak menafikan sejauh ini pihak pengurusan masjid yang dimonopoli sesuatu kaum itu berjaya memakmurkan masjid melalui kegiatan ibadat, kebajikan dan kemasyarakatan. Segala program yang dilakukan mendapat sambutan anggota masyarakat.

Tapi apa yang dirasakan kurang ialah pelibatan anggota masyarakat bukan Melayu yang beragama Islam. Kehadiran fizikal mereka seakan tidak wujud langsung. Oleh kerana itu sukar bagi kita menidakkan tanggapan bahawa masjid itu milik orang Melayu atau orang India Muslim! Oleh itu tanggapan sempit tentang Islam sukar diperbetulkan.

Menurut carta lelaman web Darul-Arqam sepanjang lima tahun (1990 – 2003) seramai 2405 orang bukan Melayu yang memeluk agama Islam. Sedangkan Darul-Arqam sudah diwujudkan lebih 30 tahun sejak tahun 1977 yang dikenali dengan Rumah Saudara Baru.

Dianggarkan kemungkinan hampir 10,000 penganut Islam bukan Melayu dalam masa 30 tahun – sekiranya secara purata 300 orang memeluk Islam setiap tahun. Pihak MUIS sudah tentu mempunyai daftar yang lebih tepat dan terperinci dari segi bilangan, bangsa, kelayakan akademik dan pekerjaan.

Mengapakah tidak golongan ini diterapkan dalam pengurusan masjid kejiranan kita. Kita perlu mengambil langkah proaktif mengundang mereka duduk dalam jawatankuasa pengurusan masjid kejiranan di seluruh Singapura selain terlibat dalam persatuan Darul-Arqam atau di Jamiyah.

Jika jawatankuasa pengurusan masjid yang berbangsa Melayu akan menjemput ahli keluarga dan teman-teman bergiat dalam kegiatan memakmurkan masjid, isya-Allah ahli jawatankuasa pengurusan yang bukan berbangsa Melayu ini juga akan mengundang ahli keluarga dan teman-teman mereka sama ada yang beragama Islam atau tidak, terlibat dalam program yang dianjurkan oleh pihak masjid.

Golongan bukan Melayu yang beragama Islam ini tidak akan rasa kekok apabila mendapati kehadiran fizikal ahli-ahli jawatankuasa pengurusan yang seketurunan dengan mereka. Secara tidak langsung kehadiran mereka yang majoritinya berpendidikan Inggeris ini menepati matlamat MUIS mengadakan khutbah dalam bahasa Inggeris di masjid-masjid kejiranan.

Dan sekiranya ada permintaan untuk membaca khutbah dalam bahasa Mandarin, sudah tentu tidak akan dipertikaikan apabila didapati bilangan jemaah yang berbahasa Mandarin bertambah ramai dari masa ke semasa!

Semoga langkah proaktif ini dapat memperkasakan masjid-masjid kejiranan mencapai matlamat rahmatan lil alamin untuk semua orang bukan khas untuk sesuatu kaum.

-*-*-*-*-*-*-*-*-*-*-*-*-*-*-*-*-*-*-*-*-*-*-*-*-*-*-*-

# Menemui Saudara Abd Kadir - Tue, 11 Aug 2009 11:21:13 +0800

Terima kasih atas kiriman emel ini.
Kami telah menyalurkannya kepada para Editor di Berita Harian.
Salam ukhwah

Penolong Kanan Administrasi
Berita Harian/Berita Minggu
emel: aadeska@sph.com.sg

0 Comments:

Post a Comment

<< Home